News

DUN: RUU untuk turun kuasa banteras rabies, lulus
Posted on : 23 Nov 2022  Source of News: Utusan Sarawak
 


Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom


KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan), 2022.

Ia dilulus selepas dibahas oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Dr Simon Sinang (GPS-Tebedu), Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang), Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) dan Billy Sujang (GPS-Opar)

RUU itu dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap ADUN Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

RUU itu bertujuan membenarkan Pihak Berkuasa Veterinar Negeri mewakilkan fungsi dan tugasnya kepada mana-mana pegawai awam dan untuk membenarkan kebenaran orang lain oleh Pihak Berkuasa Veterinar Negeri bagi mengeluarkan ubat-ubatan veterinar.

Rundi berkata, ia bagi tujuan untuk membasmi masalah rabies dengan berkesan di Sarawak.

“Wabak rabies di Sarawak bermula pada 1 Julai 2017, apabila kes manusia pertama dilaporkan di Daerah Serian.  

“Sehingga kini, sebanyak 72 kawasan di negeri ini telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies. Jumlah kes rabies (jangkitan kepada manusia) kini berjumlah 51 orang di mana 45 daripadanya telah meninggal dunia,” katanya.

Disebabkan wabak ini, Sarawak baru-baru ini telah menubuhkan Immune Belt Enforcement Team (IBET) di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak pada 22 Jun, 2020. 

IBET akan memainkan peranan penting untuk melengkapkan dan menyokong Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dalam mengawal rabies   dan menjalankan program kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, pindaan ini adalah penting kerana ia membenarkan anggota IBET untuk membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk mentadbir vaksinasi dan menjalankan fungsi dan tugas berkanun berkaitan Pihak Berkuasa Veterinar Negeri untuk membasmi rabies dengan berkesan di Sarawak,” katanya.

Useful Links